Ahad, 15 Mac 2015

PERGINYA MURABBI UMMAH (TGNA)


Assalamualaikum…





Wahai anakku,

Janganlah engkau sedih atas kematian, kerana kita tidak akan mampu mengembalikan kehidupan jasad. Hebatnya seseorang tokoh itu bilamana ilmu dan petunjuknya tetap hidup walau jasadnya telah musnah.

Kematian itu wahai anakku hanyalah perpisahan antara roh dan jasad, kerana alam barzakh memerlukan perpindahan ini untuk memasukinya. Lalu ia adalah kegembiraan bagi orang yang beriman dan kesedihan serta petaka bagi orang yang kufur.

Wahai anakku,

Bilamana kamu lahir, hanya kamu yang menangis sedang yang lain semua gembira. Namun, bilamana seorang mukmin itu mati, ia akan gembira dan yang tinggal pula akan menangis.

Kita tidak menangisi kematian tetapi kita tangisi kehilangan sementara. Kerana orang mukmin akan pasti bertemu nanti di alam barzakh dan alam akhirat.

Wahai anakku,

Andainya engkau merindui dan menyayanginya, peliharalah amalanmu nanti engkau akan dapat bersama dengannya di alam akhirat. Sebagaimana kita merindui Rasulullah (SAW), kerana kita tidak sempat bertemu dengannya di alam ini.

In Sha Allah… akan bersamanya di alam berzakh dan syurga kelak, andai kita dirahmati Allah dengan ketaatan kepada-Nya.

Wahai anakku,

Perjuangan ini mesti disambung dan diteruskan. Kitalah penyambung warisan ini. Bangunlah dari kesedihan dan ratapan ini. Kerana esok mungkin giliran kita pula menemui ilahi.





Coretan Sayu 12 Februari

Tugasnya di dunia sudah selesai,

Ke misi seterusnya, untuk kekal di alam sana.

Damailah duhai ayahnda Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tiada siapa mampu menyekat air tadahan mata ini dari mengalir pergi, kau guru, ayah dan murabbi kami.

Bagaikan tidak percaya ia kini jadi kenangan. Hanya setakat ini jodoh, detik kita bersama.

Kepemergian yang ditangisi, kau daie kesayangan rakyat. Pergilah damai dan abadi disana, akan kami gembirakan keluarga dan sahabatmu yang masih berbaki di dunia. Akan kami cuba sehabis baik, meneruskan hajat dan cita-citamu.

Tuan Guru, akan kami jaga sahabat karibmu,
Tuan Guru Abdul Hadi juga, Tuan Guru Haron Din al-Hafiz, mereka pengganti kami tatkala kami rindu padamu. Akan kami pacu jemaah ini mendepani segala cabaran, patah tumbuh hilang berganti.

Moga Allah ganti air mata ini dengan kemenangan di bawah panji bulan purnama.

Tuan Guru, kami akan sambung perjuanganmu.

Wahai Allah aku mencintainya kerana-Mu.
Damailah ayahnda disana, bertemu Tuhan yang Esa.
Berkati dan rahmatilah Dia.

Pada hari mulia penuh keberkatan.

Khamis, 12 Mac 2015

ULAMA’ PEWARIS NABI






Assalamualaikum….


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu (muhammad), kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
(QS an-Nahl : 43)

Menjadikan ulama' sebagai sumber rujukan.

Urusan yg berhubungan dngan agama harus ditanyakan kpd mereka yg benar-benar mengetahuinya dan tidak kepada setiap orang yang memiliki sedikit pengetahuan mengenainya.

Nabi saw. bersabda: "Perumpamaan para ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit, digunakan sebagai petunjuk dalam kegelapan, daratan dan lautan. Jika bintang-bintang itu hilang, dikhawatirkan orang-orang yang mencari petunjuk menjadi sesat."(HR. Ahmad)


PERANAN ULAMA’

Ulama’ ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah, Al-Quran, muamalat, politik, budaya, ekonomi dan perkara-perkara besar yang lain. Ilmu ini akan menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak. Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya: yang bermaksud : 

“Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”.

dan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 269:

“Allah memberi Al-Hikmah kebijaksanaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya; barangsiapa yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan kebaikan yang banyak”.

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.

(Surah Al-Mujadalah: 11)


Pertama :
Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak”.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)

Menghina dan mengepikan ulama’ serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah, membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang berdosa.

Kedua :
Ulama’ mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam. Ulama’ yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka mereka bukan ulama’ yang sebenar.

Ketiga :
Ulama’ adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya.
Ulama’ bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.

Keempat :
Ulama’ adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan sosiopolitik, budaya, ekonomi dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang terlibat berjihad untuk menobatkan pemerintahan menurut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka berusaha memartabatkan kedudukan umat dalam setiap lapangan agar menjadi khaira ummah demi menunaikan amanah dan tanggungjawab ilmu mereka.

Kelima :
Ulama’ mestilah dijadikan sebagai tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu usaha menghalang ulama’ daripada menyampaikan ajaran agama adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama’ menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau mengenepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha memadamkan sinar agama Allah. Usaha para ulama’ yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama’.

Keenam :
Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah.


Jelaslah kepada kita betapa pentingnya kedudukan para ulama’ dan peranan mereka dalam menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kesesatan akidah. Sebab itu ulama’ dipandang serong oleh musuh Islam dan orang-orang yang sangat anti kepada perjuangan hidup Islam. Oleh kerana peranan dan kedudukan ulama’ penting dalam masyarakat, marilah kita menghormati dan menghargai ulama’ kita yang soleh dan bertaqwa. Marilah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama’.

Ini tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah. Sebab itu martabat dan peranan ulama’ hendaklah dihormati dan dihargai. Pertubuhan dan gerakan mereka wajib disokong sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kegiatan mereka hendaklah dibantu dan diperkasa untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Maruah dan nama baik mereka hendaklah dipertahankan kerana ia adalah tanggungjawab setiap umat yang cintakan Islam.

Sabtu, 7 Mac 2015

MAQAM SYEIKH AHMAD BADAWI


بسم الله الرحمن الرحيم



JAULAH BUMI TANTA, JEJAK MAQAM WALIYULLAH SYEIKH SAYYIDI AHMAD BADAWI

Assalamualaikum…

        Bermula pengembaraan di bumi Tanta, Selasa, 27 Januari 2015. Saya amat bersyukur kepada Allah kerana telah menyampaikan saya ke sebuah makam waliyullah, iaitu seorang insan pilihan Allah yang bernama Sayyidi Ahmad Badawi. Rasa kerdil insan ini, berada di hadapan seorang waliyullah, walaupun pada zahirnya mereka telah wafat akan tetapi jiwa waliyullah ini tetap hidup. Bagaimana hakikat kehidupan mereka hanyalah Allah Subhanahu Wa Taala sahaja yg mengetahui.

       Kalau hendak dikisahkan kehebatan beliau, sehingga disebutkan beliau dikurniakan kewalian hasil pancaran kewalian Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani (wali Qutub pada zamannya) dan Sheikh Ahmad Ar Rifai'e (juga seorang wali qutub pada zamannya). Sungguh sukar menyatakan tahap kewalian Sheikh Sayyidi Ahmad Badawi, disebabkan terlalu tinggi tahapnya. Kadang kala kita hairan bagaimana beliau mampu memelihara diri, dengan menahan segala macam bentuk godaan syaitan sehingga Allah mengangkat martabatnya ke satu martabat yang lebih tinggi.

       Makam yang terletak di Tantaini, sering menjadi kunjungan jutaan manusia yang tidak lekang untuk menziarahi makam beliau dari kalangan para sufi, ulama' dan manusia keseluruhannya. Moga Allah Taala mengurniakan kita himmah dalam mengamalkan sunnah-sunnah nabi yang mulia dengan memperbanyakkan selawat dan sentiasa berakhlak mulia.


       Menurut kisah, antara karamah Syeikh Ahmad Badawi ialah mukanya brcahaya sehinggakan beliau melilit wajahnya sebanyak dua kali dngn serban beliau. Pada suatu ketika, seorng anak murid beliau meminta untuk melihat wajah Syeikh Ahmad Badawi tetapi, beliau menolak permintaan anak muridnya itu pada awalnya, atas desakan yang kuat, beliau membenarkn anak muridnya ini melihat wajah beliau. Semasa melihat wajah Syeikh Ahmad Badawi anak muridnya itu meninggal dunia kerana terkejut melihat wajah Syeikh Ahmad Badawi yang bercahaya. Semenjak peristiwa itu beliau tidak pernah membuka lilitan serbannya dan anak muridnya yang meninggal dunia itu diklasifikasikan sebagai mati syahid kerana meninggal dunia semasa menuntut ilmu.



MASJID SYEIKH SAYYIDI AHMAD BADAWI, AWL BAHR, TANTA


MARI KITA IKUTI SEJARAH MENGENAI WALIYULLAH INI

       Syeikh Ahmad Badawi berasal dari Kota Fas, Magribi. Seorang ulama sufi dan wali Allah yang sangat terkenal di dunia sufi ini lahir pada tahun 596 H. Nama sebenarnya Ahmad bin Ali Ibrahim bin Muhammad bin Abi Bakr al-Badawi. Berketurunan Nabi saw, karena nasabnya sampai kepada Ali Zainal Abidin bin Husain bin Ali bin Abi Talib, suami Saiyidah Fatimah binti Saiyidina Nabi Muhammad saw.


Keluarga Badawi bukan penduduk asli Fas. Mereka berasal dari Bani Bara, suatu kabilah Arab di Syam yang berhijrah tinggal di Negara Arab paling barat ini. Di sinilah semasa kecil Syeikh Ahmad Badawi menghafal al-Qur’an dan mengkaji ilmu-ilmu agama khususnya fekah Mazhab Syafie. Pada tahun 609 H ayahnya membawanya pergi ke tanah Haram bersama saudara-saudaranya untuk melaksanakan ibadah haji. Mereka tinggal di Makah selama beberapa tahun sampai ayahnya meninggal dunia pada tahun 627 H dan dimakamkan di Ma’la.
       
Syeikh Ahmad Badawi selalu mengenakan tutup muka. Suatu ketika berkhalwat selama empat puluh hari tidak makan dan minum. Waktunya dihabiskan untuk melihat ke langit. Tiba-tiba dia mendengar suara tanpa rupa (hatif), berkata: “Berdirilah !” lalu suara itu terus mengucapkan kata-kata, carilah tempat terbitnya matahari. Bila jumpa, carilah pula tempat terbenamnya matahari. Kemudian berpindahlah ke Tanta, satu Bandar di Gharbiyah, Mesir. Di sanalah tempatmu wahai pemuda”.

Suara tanpa rupa itu seakan membimbingnya ke Iraq. Di sana ia bertemu dengan dua orang wali Allah yang terkenal iaitu Syeikh Abdul Kadir Al Jailani dan Syeikh Ar Rifa’i. “Wahai Ahmad ” kata kedua orang wali Allah itu kepada Syeikh Ahmad Al Badawi seperti mengeluarkan arahan. ” Kunci-kunci rahsia wilayah Iraq, India, Yaman, as-Syarq dan al-Gharbiyah di genggaman kita. Pilihlah mana yang kamu suka “. Tanpa disangka-sangka Al Badawi menjawab, “Saya tidak akan mengambil kunci tersebut kecuali dari Zat Yang Maha Membuka.

Perjalanan selanjutnya adalah Mesir negeri para nabi dan ahli bait. Syeikh Ahmad masuk ke Mesir pada tahun 634 H. Di sana ia bertemu dengan Al Zahir Bibers dengan tenteranya. Mereka menyanjung dan memuliakan wali Allah ini. Namun takdir sudah menetukan ia harus melanjutkan perjalanan menuju tempat yang dimaksud oleh bisikan ghaib, Tanta, satu kota yang banyak melahirkan tokoh-tokoh dunia. Di Tanta Syeikh Ahmad Badawi menjumpai para wali, seperti Syeikh Hasan Al Ikhna`I, Syeikh Salim Al Maghribi dan Syeikh Salim Al Badawi. Di sinilah ia berdakwah, menyeru pada agama Allah, takut dan sentiasa berharap hanya kepadaNya.

Beliau laksana laut, diam tenang tapi dalam dan penuh dengan mutiara, itulah Syeikh Ahmad Al Badawi. Syeikh Matbuli berkata, “Rasulullah SAW bersabda kepadaku, ” Setelah Muhammad bin Idris As Syafe tidak ada wali di Mesir yang fatwanya lebih berpengaruh daripada Ahmad Badawi, Nafisah, Syarafuddin Al Kurdi kemudian Al Manufi. Syeikh Matbuli hidup bukan di zaman Rasulullah saw, dia mendapatnya dengan karamah kewaliannya.

Suatu ketika Ibnu Daqiq Eid mengutus Abdul Aziz Ad Darini untuk menguji Syeikh Ahmad Badawi dalam berbagai permasalahan. Dengan tenang dia menjawab, “Jawapan soalan-soalan itu terdapat dalam kitab ‘Syajaratul Ma’arif’ karya Syeikh Izzuddin bin Abdus Salam. Ertinya beliau juga amat menguasai ilmu-ilmu syariat malah menghafaznya.


Apa yang ada di Masjid Sidi Ahmad Badawi ???

Di Masjid Sidi Ahmad Badawi terletaknya lokasi Makam Syeikh Ahmad Badawi sendiri dan empat lagi Makam waliyullah, Masjid ini juga menyimpan bekas tapak kaki Rasulullah yang dikatakan dibawa oleh Sultan Salehuddin Al-Ayubi dari Madinah semasa zaman pemerintahan beliau, masjid ini juga mempunyai satu bilik keperluan Syeikh Ahmad Badawi sendiri yang menyimpan barang-barang keperluan Syeikh Ahmad Badawi serta janggut Rasulullah.

Antara barang yang tersimpan di dalam bilik keperluan Syeikh Ahmad Badawi:

1. Tasbih Syeikh Ahmad Badawi sepanjang 10 meter (999 biji sebesar biji tamar setiap satu)
2. Pakaian Syeikh Ahmad Badawi berwarna merah (20 kilogram)
3. Tongkat Syeikh Ahmad Badawi
4. Serban Syeikh Ahmad Badawi
5. Janggut Rasulullah



POTONGAN DARIPADA KISWAH RASULULLAH SAW



BEKAS TAPAK KAKI BAGINDA RASULULLAH SAW


KARAMAH SYEIKH SAIYYIDI AHMAD BADAWI

       Karamah lahiriah bukanlah satu-satunya ukuran tingkat kewalian seseorang, tetapi tidak ada salah disebutkan beberapa karamah Syeikh Ahmad Badawi sebagai bukti betapa hebatnya orang-orang yang hampir jiwanya dengan Allah ini. Diantaranya seperti yang biasa kita dengar bahawa beliau ini sentiasa menutup wajahnya dengan kain dari pandangan manusia. Dalam masa yang sama, ia mempunyai pengikut yang ramai. Maka ramailah dikalangan orang-orang yang berhasad dengki, mengadu kepada pemerintah bahawa Syeikh Ahmad mengamalkan ajaran sesat, sebab itu dia menutup mukanya. Sultan yang memerintah ketika itu memanggilnya ke istana untuk mengetahui dalam beberapa perkara dan memaksanya membuka kain penutup mukanya. Bila sahaja dibuka kain tersebut, memancarlah cahaya dari wajahnya yang sangat menyilaukan pandangan. Tahulah Sultan bahawa beliau adalah wali Allah. Setelah itu diketahui rahsia cahaya mukanya adalah kerana dia beramal dengan selawat yang dikenali selepas itu dengan ‘Selawat Badawi’.

Diceritakan ada seorang Syeikh yang hendak bermusafir. Sebelum bertolak dia meminta pendapat pada Syeikh Ahmad Badawi yang sudah berbaring tenang di alam barzakh. Nisbah lahir sudah meninggal dunia, sedangkan para wali tidak mati seperti orang biasa. Mereka hanya berpindah alam, roh mereka masih berperanan.

“Pergilah, dan tawakkallah kepada Allah SWT” tiba-tiba terdengar suara dari dalam makam Syeikh Ahmad Badawi.

Tersebut kisah Syeikh Ahmad Badawi suatu hari berkata kepada seorang laki-laki yang memohon panduan dalam perniagaannya. “Simpanlah gandum untuk tahun ini. Kerana harga gandum nanti akan melambung tinggi, tapi ingat, kamu harus banyak bersedekah pada fakir miskin”. Nasihatnya benar-benar dilaksanakan oleh laki-laki itu. Setahun kemudian dengan izin Allah kejadian itu terbukti benar. Ini memperlihatkan orang yang imannya sangat hampir dengan Tuhan mendapat sumber ilmu dari Tuhannya, tidak terbatas dengan persoalan akhirat semata-mata.

Pada tahun 675 H sejarah mencatat kehilangan tokoh besar yang mewarnai dunia Islam dengan cinta dan takut kepada Allah. Dengan kasih sayang sesama manusia. Syeikh Ahmad Badawi yang tidak pernah berkahwin ini berpindah ke alam baqa’ dekat dengan kekasihnya Allah swt. Jasadnya dikebumikan di Tanta, Mesir.

Beberapa waktu setelah pemergian wali pujaan ini, umat Islam seperti tidak tahan, menanggung rindu akan kehadirannya. Maka diadakanlah di hari ulang tahun kelahirannya, diadakan majlis merayakannya (maulid), maka sejarah mencatat, orang ramai datang umpama gelombang banjir dari berbagai tempat yang jauh. Kerinduan, kecintaan, pengabdian mereka tumpahkan pada hari itu pada sufi agung ini. Hal inilah kiranya yang menyebabkan sebagian ulama dan pegawai agama ditahun-tahun selepas itu cuba menghalang acara maulid ini untuk mengelakkan bid’ah kononnya. Ia terjadi hanya satu tahun sahaja. Tahun berikutnya perayaan diadakan kembali hingga sekarang.



       Pengorbanan seorang waliyullah ini patut diteladani oleh masyarakat islam terutamanya pemuda dan pemuda yang menjadi tunjang pembentukan islam sejati. Pengalaman ini telah menyedarkan saya untuk lebih lagi mengkaji mengenai sirah Rasulullah, para anbiya', sahabat dan waliyullah. Dengan mengetahui sejarah, dapatlah kita mengambil ibrah dari kisah-kisah hidup mereka yang terdahulu, berusaha dalam menegakkan agama Islam ini sehingga tidak terasing lagi di mata dunia dengan ketinggian akhlak dan keilmuanya. Mereka hidup hanyalah dengan berbekalkan cinta akan Allah itu, melebihi cinta akan dunia dan isinya.


Semoga Allah memberi kemenangan kepada umat Islam…

Isnin, 2 Mac 2015

Kenapa Aku Menulis???



بسم الله الرحمن الرحيم




KENAPA AKU MENULIS ???


Assalamualaikum….

          Sedikit perkongsian daripada ‘Mudahnya menulis Buku’ karya Noor Hayati Yasmin. Buku ini sangat sesuai untuk di baca kepada sesiapa sahaja yang ingin mencuba nasib di dalam dunia penulisan. Banyak item-item yang diceritakan oleh penulis di dalam bukunya, bermula dari menjadi seorang penulis biasa yang hanya menulis kerana hobi sehinggalah menjadi seorang penulis best seller. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat memberi manfaat untuk kita bersama.

Berikut mungkin antara persoalan-persoalan yang pernah bermain di fikiran anda, yang ingin bercita-cita untuk menjadi seorang penulis;

* Adakah anda mempunyai mesej yang hendak dikongsi dengan dunia?
* Adakah anda mempunyai ilmu yang ingin dikongsi dengan orang lain?
* Adakah anda mempunyai impian untuk menolong orang ramai dalam hidup ini?
* Adakah anda bersedia melakukan perkara yang selama ini anda hanya membayangkannya sahaja?
* Pernahkan anda membaca buku dan berkata, ‘’Alahai, buku macam ini pun saya boleh tulis.’’
* Tetapi, adakah anda menulis buku selepas anda membaca buku itu?
* Adakah anda betul-betul menulis?
* Anda mahu menulis buku?
* Anda mahu menulis bukan sebuah buku sahaja tetapi beberapa buah buku
* Anda mahu orang membaca buku anda
* Impian hidup anda untuk menjadi seorang pengarang
* Keinginan terakhir anda sebelum meninggal dunia ini adalah menulis buku
* Tidak kira jika anda tidak tahu di mana hendak bermula
* Tidak kira jika anda tiada idea langsung bagaimana mahu menulis
* Tidak kira jika anda sudah mencuba untuk menulis berkali-kali pada masa lepas dan gagal pada setiap kali percubaan anda.
* Tidak kira jika anda tidak pernah langsung menulis walau satu bab sekalipun dalam hidup anda
* Tidak ada apa yang mustahil andai anda tahu bagaimana caranya
* Anda boleh menulis buku
* Anda boleh menulis

          Bakal penulis berfikir ada rahsia besar untuk buku diterbitkan. Ada jalan mudah untuk menulis buku. Setidak-tidaknya itu jugalah yang berada di dalam fikiran Asy’ pada masa dahulu. Sebenarnya tidak ada langsung!!!

Cara yang ada cuma duduk di hadapan computer atau mengangkat pen dan habiskan masa dengan menulis. Menulislah!!! Itu sahaja rahsianya.

Itu sahaja yang dilakukan oleh kebanyakkan penulis-penulis lain yang sudah berjaya menghasilkan buku. Karya pertama Noor Hayati Yasmin telah banyak mengubah persepsi Asy’ selama ini mengenai dunia penulisan. Dengan mengenali bukunya, telah banyak memberi semangat dan inspirasi buat Asy’ dalam mengejar cita-cita sebagai seorang penulis. Dengan membaca bukunya jugalah yang menggerakkan hati Asy’ untuk mewujudkan blog ini sebagai satu medan bagi mendidik diri, yang ingin menjadi seorang penulis sebenar suatu hari nanti.

In sha Allah…


# Kenapa aku menulis???

          Kenapa harus menulis?? Kenapa tidak melakukan yang lain saja?? 
Jawabnya; ‘’Aku suka menulis, aku menikmati penulisan’’. Dengan meluangkan seberapa banyak waktu sekalipun aku tidak kisah, kerana aku suka dengan kerja yang aku lakukan ini. Sekurang-kurangnya, ianya bermanfaat. Berguna untuk aku malah untuk orang lain juga. Hal ini, setidak-tidaknya dapat menghalang diri aku daripada membazir masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Bukankan ia menguntungkan?

Nikmatnya?

Selepas menulis, aku akan rasa kosong. Minda dan jiwaku sentiasa lapang seperti ianya pernah disatukan dan dikunci di dalam sebuah kotak kayu, terhindar dari semua masalah dan kesibukkan dunia. Pernahkah kita meluahkan perasaan terhadap seseorang yang paling bermakna buat kita. Misalnya, orang tua kita yang paling kita sayangi dan hormati. Anda mempunyai pelbagai masalah dan meluahkan semua masalah anda kepada mereka, lalu mereka memadamkan kesedihan di hati anda dan memberi kata-kata nasihat yang membangkitkan semula keyakinan anda. Selepas itu, anda akan rasa lebih tenang dari sebelumnya kerana bersyukur hadirnya mereka dalam hidup anda. Begitulah yang dapat Asy’ rasakan setiap kali menulis. Kita dapat berkongsi apa yang bermain di fikiran kita.

Kenapa aku menulis??

Jawapannya… KETENANGAN.


# Niat Dan Matlamat Yang Jelas

          Sebagai seorang penulis, anda harus memiliki niat dan matlamat yang jelas, yang menyatakan mengapa anda perlu menulis. Niat yang ikhlas memainkan peranan yang penting dalam setiap amal yang ingin kita lakukan. Ini kerana, sebagai seorang penulis. Andai kata niat anda adalah salah mengenai penulisan anda. Misalnya, anda menyebarkan berita palsu atau ilmu yang anda ingin kongsikan itu adalah salah tanpa usul periksa mengenainya. Maka, buruklah padahnya kerana dengan tulisan anda itu mungkin akan mendatangkan sebuah fitnah atau akan menyesatkan pemikiran  masyarakat yang telah membacanya. Seperti yang selalu Asy’ perkatakan sebelum ini, ‘mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang’. Jadi, berhati-hatilah pada setiap kali anda hendak mula menulis. Oleh kerana itu, niat seseorang adalah selari dengan tindakan yang ingin dilakukan.

Pernahkah kita mendengar hadis ini,

عن أمير المؤمنين أبي حفص عمر بن الخطاب (رضي الله عنه)
 قال: سمعت رسول الله (صلى الله عليه وسلم) يقول: "إنما الأعمال بالنيات و إنما لكل امرئ ما نوى، فمن كانت هجرته إلى الله ورسوله، فهجرته إلى الله ورسوله، ومن كانت هجرته لدنيا يصيبها أو امرأة ينكحها، فهجرته إلى ما هاجـر إليه"

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsin 'Umar ibn al-Katthab r.a. beliau berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:


"Bahawa sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan bahawa sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan. Barangsiapa yang hijrahnya menuju kepada Allah dan RasulNya, maka hijrahnya kepada Allah dan RasulNya. Barangsiapa yang hijrahnya kerana dunia yang dia mahu mencari habuannya, atau kerana seorang perempuan yang dia mahu kahwininya, maka hijrahnya ke arah perkara yang ditujuinya itu."

Pernahkah kita berfikir, kenapa Imam an-Nawawi menyusun hadis mengenai perihal niat ini sebagai keutamaan kepada bab pertama dalam kitabnya Matan Arbain. Kenapa bukan hadis lain?? Ini kerana, niat merupakan sebahagian daripada amal yang merangkumi keseluruhan ibadah dalam Islam. Amal seseorang itu tidaklah dikira sebagai suatu amal tanpa disusuli dengan niat yang ikhlas kerana Allah. Begitu jugalah sebagai seorang penulis. Setiap tinta mengenai kata-katanya adalah ibadah jika dipandukan pada jalan yang benar.

Latar belakang pengajian saya yang lebih menjurus kepada pendidikan islam menyebabkan saya lebih gemar berkongsi mengenai dunia Islam. Saya menuntut di Universiti Al-Azhar dalam bidang syariah islamiah. Tahun ini merupakan tahun pertama saya sebagai mahasiswa. Alangkah bagusnya, jika saya menggunakan peluang dan sedikit ilmu yang ada untuk dikongsikan kepada masyarakat. Saya akui, diri ini bukanlah yang sempurna. Tapi, tidaklah menjadi suatu kesalahan dalam berlumba-lumba mengejar kepada kebaikan. Harapan saya, dengan bermulanya hari-hari saya sebagai seorang penulis baru di dalam dunia penulisan ini, dapatlah mewujudkan peluang yang terbuka buat diri saya dalam berkongsi mengenai ilmu-ilmu berkaitan dengan islam dan dakwah. Semoga menjadi suatu amal yang sentiasa istiqamah kerana Allah Taala.

Doa-doakanlah yea…


# Guna Masa Yang Ada

          Disebabkan jadual yang sibuk sepanjang hari, menyebabkan Asy’ perlu lebih bijak dalam membahagikan masa antara keperluan dan kehendak menulis. Kebanyakkan masa yang dihabiskan hanyalah di kuliah pengajian. Lebih-lebih lagi, masa seharian semakin suntuk jika hari itu Asy’ akan mengambil kelas luar di sekitar Azhar atau di rumah-rumah negeri untuk mentalaqi kitab. Tahun pertama Asy’ sebagai mahasiswa baru, menyebabkan Asy’ memerlukan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri. Hal inilah yang menyebabkan kekangan masa antara keperluan Asy’ di kuliah dan kehendak untuk menulis bagi mengejar cita-cita. Bercita-cita tinggi itu tidak salah, asalkan kita tidak mengabaikan perkara lain juga. Bagi Asy’ , kedua-duanya adalah cita-cita. Cita-cita sebagai seorang penulis dan cita-cita bagi mendapatkan segulung ijazah, kerana itu akan membuatkan orang tua Asy’ tersenyum. Namun begitu, kekangan masa yang dihadapi setiap hari bukanlah menjadi alasan untuk kita mudah mengalah. Hal ini, menyebabkan kita lebih bijak mencuri masa yang ada. Tidak kiralah masa yang dapat kita luangkan itu hanya cuma sekumit. Akhirnya, tetap juga kita gembira kerana telah berjaya meluangkan masa dengan melakukan perkara yang amat kita sukai. Jadi, menulislah kerana itu bukan sekadar hobi. Anda perlu bijak mengambil peluang yang ada. Menulislah walau bagaimana sekalipun keadaan anda pada ketika itu. Misalnya, ketika anda dalam perjalanan ke kuliah, anda hanya menaiki bas pada setiap hari untuk ke universiti. Anda boleh sahaja menulis ketika berada di dalam bas. Helaian tiket bas selalu menjadi bahan catatan buat anda. Apa yang saya ingin sampaikan di sini adalah, kesungguhan andalah yang akan menjadikan impian anda itu menjadi kenyataan atau hanya sekadar angan-angan.


# Cara Anda Menulis

          Bagi Asy’ sendiri, Asy’ lebih gemar munulis pada halaman-halaman kertas, berbanding menaip di ‘keyboard’ computer. Hal ini kerana ianya lebih menjimatkan masa disebabkan penggunaan komputer memerlukan lebih banyak persediaan. Lainlah jika kita di rumah, kita bebas untuk bergerak. Yealah!! Bukannya sepenuh masa kita dapat peluang untuk menghadap skrin komputer pada setiap hari. Walaupun ada yang mengatakan ianya lebih memudahkan bagi penyimpanan data. Akan tetapi, kita juga diancam risiko data-data yang dikumpul mengenai karya kita boleh saja hilang dalam sekelip mata. Bagi Asy’ , lebih suka kepada penulisan tangan kerana ianya tetap menjadi suatu keunikan walaupun akan dianggap ketinggalan sebagai seorang penulis moden. Karya-karya kita yang dikumpul juga selamat disimpan dalam simpanan kita berbanding mudah dihapus oleh virus atau risiko berlaku kesilapan teknikal. Jika Asy’ inginkan dalam bentuk draf mudah saja ditaip ke dalam komputer atau scan sahaja, mudahkan. Cara apa yang digunakan untuk menulis bukanlah menjadi suatu perkara yang penting. Asalkan kita dapat menulis dan karya kita siap dengan kehendak kita pun sudah cukup. Mengenai cara anda menulis banyak bergantung kepada keselesaan dan gaya hidup anda juga sebenarnya. Terpulanglah mengikut kehendak dan pendapat anda sendiri.


# Tindakan Dari Anda

          Berapa banyak pengetahuan yang anda miliki tidak berapa penting. Apa yang penting ialah mengambil tindakan. Anda tidak akan menjadi penulis jika tidak melakukan apa-apa perubahan terhadap diri anda. Tindakan merupakan tindak balas setelah anda faham tentang sesuatu perkara. Jadi, lakukanlah tindakan mengikut kefahaman anda sendiri. Keluarkan apa yang bermain di fikiran anda. Apa yang anda perlu buat ialah MENULIS. Pengetahuan itu adalah kuasa. Tetapi kuasa sebenar ialah TINDAKAN. Dengan hanya duduk berangan-angan, cita-cita anda sebagai seorang PENULIS tidak akan berhasil. Akhirnya, karya yang anda impikan itu tidak akan pernah menjelma sepanjang hidup anda.

Kadang-kadang, kita tidak boleh berfikir terlalu banyak. Ikut gerak hati dan yakinlah semuanya akan menjadi baik. Hanya satu rahsia untuk maju ke hadapan iaitu memulakan langkah.

Dua langkah penting yang saya mahu anda ingat ialah;
* Buat keputusan untuk menjadi penulis
* Bertindak dengan mula menulis

Bukannya banyak sampai 10 langkah yang saya berikan. Hanya ada dua langkah sahaja. BUAT KEPUTUSAN dan BERTINDAK! Ayuh, bangun dan MULA MENULIS. Berhenti berangan-angan. MENULISLAH IKUT KATA HATI ANDA.






sebenarnya, rasa janggal untuk menggelarkan diri ini sebagai Asy' ,
itu saja nak cakap... hehe.. (''__'')

Ahad, 22 Februari 2015

Sang Pemimpi



بسم الله الرحمن الرحيم


  



          Dengan ini, aku mulakan dengan lafaz mulia ‘basmalah’ sebagai permulaan kepada segala impianku. Semua orang mempunyai impian, tipulah jika saya mengatakan yang anda tiada impian anda sendiri??? Hidup ini tidaklah sempurna jika tiada impian untuk dikejar. Oleh itu, anda harus memiliki matlamat yang cukup jelas untuk dibawa bersama-sama dengan anda sepanjang hidup. Teruskanlah bersama dengan impian-impian anda, tidak kiralah sebesar mana sekalipun impiannya itu, tetap juga menjadi harapan buat diri anda untuk terus bangkit mengejar apa yang terhasrat di dalam lubuk hati anda.

          Aku juga mempunyai impianku yang tersendiri. Impianku adalah ingin merialisasikan semua impian ayah dan bondaku (Che Hassin Mohammad dan Rashidahana Mohd Noor). Selain itu, aku juga bercita-cita untuk berkecimpung di dalam dunia penulisan. Aku seorang ‘PENULIS’. Menjadi seorang penulis yang berjaya itu bukanlah mudah, perlu melalui jalan-jalan yang sukar. Bukan mudah untuk terus bermimpi tanpa berusaha. Sebagai seorang penulis, haruslah bermatlamat untuk memberi manfaat buat dirinya dan juga masyarakat. Kerana itu, ‘mata pena adalah lebih tajam daripada mata pedang’.

          Teruskanlah bermimpi dengan perkara yang baik-baik, pasti hasilnya baik-baik juga. Anda pasti sangat gembira dengan melakukan perkara yang anda suka lakukan. Jadi, apakah masalahnya??? Asalkan anda mengikut jalan yang betul. Apa yang anda tertunggu-tunggu??? Kejayaan tidak akan datang dengan hanya berharap dan berdiam diri sahaja tanpa tindakan dari anda sendiri. Kejarlah impian anda. Mulakanlah dengan langkah kanan. Satu langkah bukanlah cukup untuk berjalan beribu batu, pasti memerlukan langkah yang kedua dan berikutnya untuk sampai ke destinasi yang dituju. Jangan disangka perjalanan anda cukup tenang dan mudah, pasti akan ada halangan yang sukar ditempuhi. Namun, teruskanlah juga melangkah, walaupun dengan perlahan-lahan pasti akhirnya disudahi dengan berlari jua, sehinggalah sampai ke garisan penamatnya nanti. Kuncinya hanyalah perlu bersabar dan istiqamah.



“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri ”.  
[QS: 13;11]


Bagiku cita-cita besar tidak melulu harus diumbar,
Hanya cukup diperjuangkan dengan sabar,
Juga diwujudkan dengan ikhtiar.


          Cuba anda kogsikan impian anda kepada orang lain. Misalnya keluarga, mahupun rakan-rakan terdekat anda. Tidak salah jika anda ingin memberitahu impian anda kepada rakan-rakan anda. Selain keluarga, rakan-rakan juga merupakan tempat untuk anda meluahkan perasaan. Berkogsi cerita, minat, pengalaman, masalah dan sebagainya. Kadang kala, mereka jugalah yang akan selalu menjadi penasihat kepada setiap masalah anda. Rakan-rakan merupakan segolongan insan yang sangat teristimewa, selalu menjadi inspirasi buat kita. Bagi saya, sejak berjauhan dengan keluarga, ini disebabkan sekarang saya sedang menuntut di salah sebuah universiti di timur tengah, Universiti Al-Azhar. Rakan-rakan merupakan teman hidup yang cukup rapat buat saya, walaupun kadang kala ada tikanya pasang surut berlaku. Namun, kehihidupan seharian saya tidaklah bermakna tanpa mereka kerana merekalah tempat rujukan saya sekarang ini. Ini bermakna, bukanlah saya tidak mempunyai ibu bapa, disebabkan berjauhan dengan keluargalah yang menjadikan mereka sebagai keluarga kedua saya.

          Kongsikan impian anda dengan sesiapapun, agar anda bisa terinspirasi dan menjadi inspirasi kepada yang lain. Cadangan saya, apa kata anda cuba memberitahu impian anda kepada rakan terdekat anda??? Usah peduli akan sikap buruk sesetengah rakan yang memandang sinis terhadap anda, ambil saja yang baik-baik. Beritahu sahaja rakan anda tentang impian hidup anda. Lakukanlah sedikit promosi, tentu anda berasa malu untuk berkongsi impian anda kepada orang lain kerana ianya mungkin agak sedikit keperibadian. Betulkan ??? Jika anda mengetepikan sikap malu anda itu, hasilnya mungkin tidak pernah terbayang di fikiran anda. Akhirnya mendatangkan kebaikan kepada diri anda juga. Jadi, tiada sesiapa yang akan rugi disini, anda juga yang akan mendapat keuntungannya.

          Dapatkanlah sedikit kata-kata nasihat dan pendapat dari mereka bagi meneruskan impian anda itu. Misalnya, saya telah berkongsi impian saya yang ingin menjadi seorang ‘PENULIS’ kepada sahabat-sahabat serumah di universiti. Hasilnya, sahabat-sahabat saya telah memberi respon positif dan menyahut impian saya. Bukankah itu telah memberi kegembiraan kepada diri saya untuk meneruskan cita-cita saya itu. Sebagai salah satu usaha bagi mengejar impian saya yang telah lama terkubur itu, saya telah mencipta blog saya sendiri sebagai sahutan daripada rakan-rakan. ‘Terima kasih buat rakan-rakan yang telah banyak memberi tunjuk ajar dan semangat buat diri ini’. Akhirnya, terciptalah blog saya ini, ' syarafiasysyarqawi.blogspot.com '. ‘Syarqawi’ merupakan nama gelaran saya daripada rakan-rakan serumah saya di Mesir. Sebagai penghargaan dan rasa teruja saya, saya telah mengabdikan nama gelaran itu sebagai nama blog saya dengan menggabungkan nama asal saya iaitu, Mohammad Syarafi bin Che Hassin, (Syarafi asy-Syarqawi). Berkebetulan juga, ‘syarqawi’ merupakan nama seorang syeikh Al-Azhar yang tersohor dengan keilmuan dan kealiman pada suatu ketika dahulu iaitu, Syeikh Abdullah asy-Syarqawi, merupakan seorang syeikh besar Azhar yang ke-12, yang hidup pada tahun 1793-1812 Masihi.

          Dengan wujudnya blog ini, dapatlah menjadi medan sebagai perantaraan buat diri saya untuk berkongsi sedikit pengetahuan dan pengalaman bersama. Selain diwujudkan sebagai satu cabaran dari rakan-rakan bagi mengasah kemahiran menulis. Saya akui, kerja sebagai seorang penulis itu bukanlah mudah tanpa usaha yang berpanjangan. Kecekalan semangat dan niat seseorang itulah yang akan menentukan  sesuatu perkara itu bermula dengan baik atau berhenti sekadar separuh jalan. Harapan saya, dengan kewujudan blog ini mudah-mudahan dapat memberi banyak manfaat buat diri. Selain dapat memupuk sikap lebih berani mencuba perkara baru.






          Mencapai redha Allah itu, adalah kehendak yang tertinggi dalam perjalanan hidup saya. ‘Every day is a good day if you just search for the blessings Allah has given you’. Semoga saya dan kalian juga dilimpahi dengan keberkatan darinya.

          Semoga dengan berlalunya setiap detik waktu ini, tidaklah disia-siakan melainkan hanyalah menjadi amal pekerjaan yang menjadi ibadah sebagai bukti pengabdian diri kepada Allah [SWT].



Jika kamu tidak
meminta bantuan Allah
untuk melawan dirimu,
kamu pasti kalah.


          Hidup ini memang sentiasa diwarnai oleh kegembiraan dan kedukaan... setiap pengalaman yang kita lalui sentiasa mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih matang dan berfikiran terbuka. Jangan risau dengan langkah yang diambil terlalu payah dan sukar untuk dilaksanakan, tapi lihatlah kepada hasil yang bakal diperolehi apabila niat dan matlamat yang disandarkan itu jelas. Jika hidup ini diniatkan semata-mata kerana Allah, wahai Rabbul Izzati, ya Tuhan yang Maha Mulia dan Maha Berkuasa, pasti dengan setiap kedukaan itu bisa ditangani dengan hati yang redha dan ikhlas.

          Kadangkala ujian yang Allah timpakan itu mempunyai rahsia dan hikmahnya yang tersembunyi. Dimana, kita sendiri sebagai hamba tidak mengetahuinya... Mungkin selepas itu, kita merasakan kehidupan ini begitu indah kerana ia sentiasa diwarnai dengan perkara yang mencantikkan lakaran kehidupan itu sendiri, iaitu iman, keikhlasan dan hidup kerana Allah Taala. "Ya Allah, semoga keinsafan dan rasa cinta ini terhadap-Mu akan kekal buat selama-lamanya" aminnn... Janganlah engkau membolak balikkan hati kami. "Ya muqallib al-qulub, thabbit qulubana ala dinika wa 'ala ta'atik”.

          Kita akan terus melakar pelangi CINTA sebagai seorang hamba, seorang hamba yang tidak sombong tika hayat hidupnya kerana satu sahaja pengharapannya, tiada dua dan tiga iaitu bertemu di persimpangan kasih ilahi. 

          Moga kita selamat kembali kepada Allah Azza Wajalla, seperti mana kita datang daripada-Nya suatu ketika dahulu. Wahai Tuhan yang Maha Pemurah terangilah akan daku dengan Nur Iman-Mu, hanya Engkau tempat aku berserah. Mohon maghfirah, dalam syahdu.





**jika ada yang salah, sudi-sudilah perbetulkan Asy’ yea...  (^___^)