Khamis, 12 Mac 2015

ULAMA’ PEWARIS NABI






Assalamualaikum….


وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ ۚ فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِنْ كُنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Dan Kami tidak mengutus sebelum kamu (muhammad), kecuali orang-orang lelaki yang Kami beri wahyu kepada mereka; Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.
(QS an-Nahl : 43)

Menjadikan ulama' sebagai sumber rujukan.

Urusan yg berhubungan dngan agama harus ditanyakan kpd mereka yg benar-benar mengetahuinya dan tidak kepada setiap orang yang memiliki sedikit pengetahuan mengenainya.

Nabi saw. bersabda: "Perumpamaan para ulama di bumi seperti bintang-bintang di langit, digunakan sebagai petunjuk dalam kegelapan, daratan dan lautan. Jika bintang-bintang itu hilang, dikhawatirkan orang-orang yang mencari petunjuk menjadi sesat."(HR. Ahmad)


PERANAN ULAMA’

Ulama’ ialah ahli agama atau ilmuan yang menguasai beberapa cabang ilmu akidah, syariah dan akhlak. Ilmu ini adalah ilmu yang bermartabat tinggi kerana ia berkaitan dengan Allah, Rasulullah, Al-Quran, muamalat, politik, budaya, ekonomi dan perkara-perkara besar yang lain. Ilmu ini akan menentukan nasib baik seseorang atau sebaliknya di dunia dan di akhirat kelak. Ilmu inilah yang disebut sebagai Ad-din oleh Rasulullah s.a.w dengan sabdanya: yang bermaksud : 

“Sesiapa yang Allah ingin memberikan kebaikan kepadanya, nescaya Allah memberi dia kefahaman yang baik tentang agama”.

dan firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 269:

“Allah memberi Al-Hikmah kebijaksanaan kepada siapa yang dikehendaki-Nya; barangsiapa yang telah dianugerahkan dengan hikmah itu bermakna dia telah diberikan kebaikan yang banyak”.

“Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”.

(Surah Al-Mujadalah: 11)


Pertama :
Sebagai pewaris para Nabi atau penyebar ajaran yang dibawanya. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnya para ulama’ itu adalah pewaris para Nabi. Dan sesungguhnya para Nabi tidaklah mewariskan dinar mahupun dirham, tetapi mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambilnya (ilmu tersebut) bererti dia telah mengambil bahagian ilmu yang banyak”.
(Riwayat Abu Daud dan At-Tarmizi)

Menghina dan mengepikan ulama’ serta menghalang mereka daripada menyampaikan ilmu malah, membunuh mereka adalah satu kejahatan dan perbuatan yang berdosa.

Kedua :
Ulama’ mengajar dan memperkukuh akidah, syariah dan akhlak Islam. Ulama’ yang tidak menyebarkan dakwah dan perjuangan Islam sepertimana yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w maka mereka bukan ulama’ yang sebenar.

Ketiga :
Ulama’ adalah contoh budaya takut kepada Allah dan menjadi model akhlak Islam. Sikap dan perilaku ulama’ adalah mempamerkan kelakuan dan akhlak Islam yang lengkap dalam memerintah, mentadbir, memimpin, menjadi pemimpin keluarga dan sebagainya.
Ulama’ bukan dari kalangan mereka yang melakukan perkara-perkara buruk seperti rasuah dan lain-lain lagi.

Keempat :
Ulama’ adalah golongan yang prihatin dan mementingkan kerja membela penderitaan umat dan berusaha mereformasikan kehidupan sosiopolitik, budaya, ekonomi dan sebagainya. Mereka adalah golongan yang terlibat berjihad untuk menobatkan pemerintahan menurut lunas-lunas ajaran Islam. Mereka berusaha memartabatkan kedudukan umat dalam setiap lapangan agar menjadi khaira ummah demi menunaikan amanah dan tanggungjawab ilmu mereka.

Kelima :
Ulama’ mestilah dijadikan sebagai tempat rujukan dan pembimbing umat daripada setiap kekalutan pemikiran dan kesesatan fahaman oleh simpang-siur ajaran dan ideologi ciptaan manusia. Sebab itu usaha menghalang ulama’ daripada menyampaikan ajaran agama adalah suatu kesalahan. Sebagai contoh, menyusahkan ulama’ menyampaikan ajaran Allah dengan memenjarakan atau mengenepikan mereka daripada khalayak ramai adalah satu usaha memadamkan sinar agama Allah. Usaha para ulama’ yang berani menyatakan kebenaran seperti yang diajarkan oleh Islam adalah lambang perjuangan dan jihad mereka menyampaikan Islam walaupun dimusuhi oleh mereka yang anti ulama’.

Keenam :
Ulama’ sentiasa berperanan mencegah kemungkaran, kezaliman dan amalan yang menderhaka kepada ajaran Allah.


Jelaslah kepada kita betapa pentingnya kedudukan para ulama’ dan peranan mereka dalam menyelamatkan umat daripada kejahilan dan kesesatan akidah. Sebab itu ulama’ dipandang serong oleh musuh Islam dan orang-orang yang sangat anti kepada perjuangan hidup Islam. Oleh kerana peranan dan kedudukan ulama’ penting dalam masyarakat, marilah kita menghormati dan menghargai ulama’ kita yang soleh dan bertaqwa. Marilah mendekati dan mempelajari ilmu pengetahuan daripada ulama’.

Ini tanda kita mengagungkan dan membesarkan Allah. Sebab itu martabat dan peranan ulama’ hendaklah dihormati dan dihargai. Pertubuhan dan gerakan mereka wajib disokong sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa. Kegiatan mereka hendaklah dibantu dan diperkasa untuk kebaikan umat Islam dan manusia seluruhnya. Maruah dan nama baik mereka hendaklah dipertahankan kerana ia adalah tanggungjawab setiap umat yang cintakan Islam.

Tiada ulasan: